Monday, January 10, 2011

HuKuM MeMbErI DaN MeNjAwAb SaLaM... Perasan atau tak?

Memulakan pertemuan dengan memberi salam adalah sunat. Sekiranya beramai-ramai memberi salam menjadi sunat kifayah. Sunat kifayah bermaksud; sunat ke atas kumpulan ramai tersebut memberi salam. Apabila seorang melakukannya, pahalanya akan diperolehi oleh semua.
Menjawab salam pula, sekiranya berseorangan hukumnya menjadi fardhu ain. Sekiranya beramai-ramai, menjawab salam menjadi fardhu kifayah. Sekiranya seorang menjawab salam, gugurlah tuntutan atas semua orang lain. Sekiranya semua yang hadir menjawab salam, itu lebih baik. Sekiranya semuanya meninggalkan menjawab salam, semua akan berdosa. Dalilnya ialah hadis nabi : ( يجزء عن الجماعة إذا مروا أن يسلم أحدهم ، ويجزء عن الجلوس أن يرد أحدهم ),
maksudnya: “cukuplah bagi sekumpulan manusia apabila mereka melintasi orang lain dengan salah seorang mereka memberi salam. Dan cukuplah bagi kumpulan yang duduk dengan salah seorang mereka menjawab salam.” (hadis riwayat Abi Dawud)
Begitu juga wajib menjawab salam yang dikirimkan samada dikirimkan menerusi seseorang secara lisan atau dikirim menerusi tulisan apabila kiriman tersebut sampai. Dalilnya ialah hadis Aisyah, katanya: Rasulullah saw bersabda kepada saya:
( هذا جبريل يقرأ عليك السلام ) bermaksud: “ini dia JIbril menyampaikan salam kepadamu. Kata Aisyah; saya menjawab : ( وعليه السلام ورحمة الله ) –wa`alaihissalam-bermaksud: dan ke atasnya salam juga. (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Disunatkan juga membalas kepada pengantara yang membawa kiriman salam dengan menjawab : ( وعليك وعليه السلام ) –wa`alaika wa `alaihissalam- bermaksud; ke atas mu dan ke atasnya salam. Dalilnya ialah hadis daripada Ghalib al-Quttan daripada seorang lelaki katanya memberitakan kepadaku oleh bapaku daripada datukku katanya; bapaku mengutuskan daku bertemu dengan Rasulullah dengan arahan; datangilah baginda dan sampaikan kepada baginda salam. Lalu aku bertemu baginda dan berkata: bapa saya menyampaikan salam kepada tuan. Lalu baginda menjawab: ( عليك السلام وعلى أبيك السلام ) ke atas kamu dan ke atas bapamu salam. ( hadis riwayat Abi Dawud). Menurut Imam Nawawi, hadis ini mengandungi seorang perawi yang tidak dikenali. Namun hadis-hadis tentang amalan-amalan yang lebih (sunat) diberi kelonggaran oleh ahli-ahli ilmu.

Sumber : ww.darulfuqaha.com

Tapi perasan atau tidak bila kita berada dalam suatu majlis, biasanya seseorang muslim akan mengakhiri ucapannya dengan salam. Tapi apa yang dapat saya perhatikan, biasanya ramai orang lebih suka memberi tepukan berbanding menjawab salam itu. Mungkin dijawab dalam hati? Wallahualam...
Berdasarkan hukum menjawab salam tadi, lebih baik jika semua yang ada di sesuatu majlis itu menjawab salam yang diberikan. Janganlah kita menganggap tidak penting untuk kita menjawab salam itu dan hanya mengharapkan orang yang menjadi wakil menjawab salam itu. Alangkah takutnya, andai tiada seorang pun yang menjawab salam yang diberikan. Semuanya akan menanggung dosa. Jadi, rajin-rajinkanlah diri kita menjawab salam yang diberikan. Bukankah salam itu satu doa, tak mahukah kita didoakan oleh saudara sendiri? Tepuk dada, tanya iman...

No comments:

Post a Comment